Scrooling Text

YOU WILL NEVER REACH YOUR DESTINATION IF YOU STOP AND THROW STONES AT EVERY DOG THAT BARKS .

Pages

Monday 14 November 2016

Terasa cemas bila usia semakin hampir ke titik noktah!

  
Menurut kata seorang sahabat, mencapai usia 50 tahun merupakan satu keistimewaan, di zaman ini.   

Aku sendiri kurang pasti, apa sebenarnya yang sahabat ku itu maksudkan.  

Ramai rakan-rakan ku yang telah 'pergi' dahulu sebelum mencapai usia ini?

Walau apapun, tahun 2017 akan menjemputku ‘masuk’ ke kelab ini.

Syukur Alhamdulillah kerana dengan izinNya aku masih sehat dan waras menempuh usia setengah abad ini.

Aku beringat kepada diri sendiri agar jangan asyek lagi dengan kehidupan dunia yang aku nikmati selama ini.

Namun agak cemas, apabila batang tubuh semakin dimamah usia dan umur semakin hampir untuk ‘dipanggil’ oleh Sang Pencipta jika mengikut kiraan matematiknya.

Takut melihat manusia bertongkat kerusi sambil mengesut perlahan-lahan, temujanji doktor katanya, untuk rawatan pelbagai penyakit.

Ada yang dipapah kerana anggota yang dulunya gagah perkasa kini longlai dek usia tua.

Adakah nanti aku juga begitu rupa? 

Walau ajal maut di tangan Tuhan, tapi bagaimana untuk menempuh hari tua? 

Bagaimana? 

Si Sehat menunggu Si Nazak, tetapi terlalu awal 'pergi' meninggalkan Si Nazak keseorangan.

Bagaimana jika aku sebagai Si Sehat? 

Bagaimana pulak jika aku sebagai Si Nazak? 

Adakah aku mampu menghadapi nya?

Adakah aku sebagai beban orang pada ketika itu?

Hanya pada Allah sahaja tempat aku berserah!

Doa dan harapan agar Allah SWT menjemput ku di dalam keadaan diri ini sudah bersedia zahir dan batin.

Semoga Allah sentiasa kuatkan semangat dan sentiasa merhamati ku…… ameen


Fenomena Supermoon



Supermoon Fenomena hari ini (Isnin14 November 2016), yang aku ambil dikatakan oleh NASA sebagai bulan berada titik terdekat dengan bumi dalam masa 70 tahun.

Fakta Ilmiah Supermoon November 2016 Bulan Purnama Terbesar Dalam 70 Tahun akan terlihat sangat besar dari bulan purnama biasa (+14%) dan terlihat hanya dua jam setelah melewati orbitnya dengan Bumi.

Cuaca cerah dan kadang-kadang berawan di Labuan menyaksikan pemandangan menakjubkan dilangit yang dinamakan “extra supermoon”.

Gambar-gambar Supermoon yang aku ambil antara jam 8.00 malam hingg 8.30 malam tadi dari balkoni dapur.

Subahanallah....sungguh indah!










































Thursday 27 October 2016

Definisi kejayaan


Ramai yang menganggap tanda aras dan ukuran kejayaan semua orang di dalam dunia ini adalah dengan berapa banyak duit dan harta yang dia miliki serta berapa tinggi pangkat dan gelaran yang dia perolehi.

Namun hakikatnya, definisi dan ukuran sebuah kejayaan itu berbeza pada setiap orang kerana setiap orang melihat sebuah kejayaan itu dari sudut yang berbeza.

Setiap dari kita kita sama-sama mengejar kejayaan dalam hidup namun matlamat kejayaan yang diinginkan hanya untuk diri kita sahaja.

Apabila sudah berjaya mencapai apa yang dicita-cita, ia adalah suatu kejayaan yang memang bermakna buat diri sendiri.

Oleh itu usahlah:
  • mencemburui kejayaan orang kerana kejayaan yang dicapainya tidak bermakna bagi kita.
  • sombong dengan kejayaan yang dikecapi, sehingga membuatkan diri berasa lebih berjaya dan berkuasa daripada orang lain.
  • menganggap orang lain sebagai musuh dan pesaing yang perlu disingkir kerana menganggap kejayaan yang diperoleh itu adalah impian yang semua orang pun idam-idamkan.
  • memperguna orang lain sebagai 'batu loncatan' dengan memaksa mereka mengikuti haluan dan cara kita.
  • memperlekehkan orang lain setelah memperolehi kejayaan, kerana  definisi kejayaan dan impian setiap orang juga tidak pernah kan sama.
  • melupai nilai-nilai baik apabila telah menikmati kejayaan.
Kita tidak selamanya berupaya menongkat langit, Jadilah manusia yang amanah dan jujur dalam mengejar erti kejayaan. Semuanya yang kita perolehi ini hanya milik Allah.

Bola tanpa gol


Bayangkan perlawanan bola sepak tanpa gawang gol!

Bagaimana pula jika anda memasuki stadium dan di tengah padang ada pengadil serta dua buah pasukan sedang melakukan upacara melambung duit syiling?

Agak-agak anda, yang mana lebih seronok, menonton perlawanan tanpa jaringan atau menonton acara lambung duit syiling? 

Masa kecik-kecik dulu kami selalu bermain bola tanpa gol.

Hanya gelecek dan 'passing' sesama sendiri sambil menghalang pihak lawan daripada menguasai bola.

Seronok jugak.

Acara lambung duit syiling pula dilakukan hanya jika terpaksa apabila keputusan masih seri sehingga tamat masa permainan.

Tanpa prajudis!

Namun hari ini lebih ramai yang memandang gawang gol itu terlalu penting sehingga sanggup membuang nilai persahabatan!

Paling utama, bola perlu melepasi gawang gol walau dengan apa cara sekalipun!

Friday 14 October 2016

Lebih banyak kita belajar, lebih banyak pulak kita sedar betapa sedikit aje yang kita tahu!


Socrates pernah berkata "ouk imae idenai, ah mae oido" yang bermaksud "lagi banyak anda tahu, lagi banyaklah anda tahu yang anda tidak tahu".  

William Blake menyatakan dengan lebih baik: "Lagi luas pulau pengetahuan saya, lagi luaslah pantai kejahilan saya".

Tidak kira dimana, samada pendidikan di Malaysia atau di mana sahaja di dunia, mereka yang memiliki kertas kelayakan yang lebih tinggi akan menjadikannya seseorang lebih berpengetahuan dan dipandang hebat.

Ia merupakan impian semua untuk mempunyai PhD sebagai keperluan untuk laluan kerjaya. 

Ahli politik dan tokoh pendidikan menggesa rakyat Malaysia untuk mendapatkan ijazah sarjana muda dan juga ijazah berganda demi masa depan yang cemerlang, gemilang dan terbilang.

Para graduan juga tahu bahawa mempunyai ijazah sarjana muda tidak mencukupi, mereka mesti meneruskan pengajian mereka ke peringkat yang lebih tinggi.

Persoalannya, adakah mempunyai dan memperolehi  tambahan kelayakan pendidikan itu lebih baik dan menjadikan seseorang itu lebih terlihat keintelektualannya? 

Dengan kos tuisyen dan pengajian yang melambung, kita hanya mampu memikirkan samada pengetahuan dibilik darjah diperlukan atau boleh digunakan untuk pelaksanaan di alam pekerjaan dan menjadi satu keperluan atau hanya sekadar mempelajarinya.

Ramai mahasiswa meneruskan pengajian tanpa menerokai pasaran kerja dan mendapat pengalaman dunia sebenar. 

Mereka memilih untuk meneruskan persekolahan dan menambah hutang yang disebabkan oleh kekurangan prospek pekerjaan dan berfikir bahawa laluan yang terbaik untuk mereka menambah kertas kelayakan. 

Mereka merasakan dengan lebih kelayakan boleh memberikan mereka kelebihan yang mereka perlukan untuk mengetepikan persaingan dan mereka mungkin betul.

Pemegang ijazah sarjana muda kini menyeragamkan keperluan pendidikan asas, dengan mengambil  ijazah lanjutan, dan secara tidak langsung mendiskaunkan nilai ijazah sarjana muda dan diploma.

Kita tidak boleh membuat anggapan bahawa, 'lagi tinggi kelayakan pendidikan seseorang itu, lebih hebatlah seseorang itu'. 

Apa yang penting ialah kualiti pendidikan dan ilmu pengetahuan serta kebolehan seseorang itu mengikut keadaan dan persekitaran dan mampu menterjemahkan apa yang dipelajari .

Namun tanpa pendidikan tertinggi tentunya mengambarkan ketidakupayaan dan kekurangan, lebih lagi dalam pelbagai kerjaya seseorang, terutama dalam era teknologi yang memberi kesan terhadap pasaran tenaga kerja kolar putih.

Bagi mereka yang tidak takut untuk meneroka dan belajar, dasar pemikiran atau paradoks ini akan menjadi jelas. 

Hasrat dan keinginan kita untuk memperolehi dan mendapatkan pengetahuan akan menjadikan kita sangat kecewa. 

Setiap perkara yang baru kita pelajari akan membawa kita ke satu lagi perkara yang baru, dan seterusnya.

Lebih banyak kita dimaklumkan, lagi banyak perkara yang tersembunyi yang perlu dicari dan didedahkan.

Adalah mustahil untuk mengetahui segala-galanya dan yang menjadikan kehidupan begitu menarik.

Ia juga menjadi penyesalan terbesar bagi diri kita kerana tidak mengetahui apa yang boleh dipelajari jika kita masih hidup lebih lama.

Tiada apa lagi yang menyedihkan dan dikesalka, tetapi jika memang benar apa yang mereka katakan tentang kehidupan. 

Sambil kita melopong , kita imbas kembali  semua perkara yang telah kita pelajari.



Tuesday 27 September 2016

Alahai anakku!


Anak aku ni bukannye baik sangat – Walaupun dekat rumah dia taat, dia mungkin nakal di belakang. Mungkin dia lawan apa yang cikgu nasihatkan, memukul dan membuli rakan sekelas dan buat perangai yang tak elok di luar jangkaan aku.

Bukan anak aku je dalam kelas tu – Anak aku hanya tiga orang je. Tu pun aku tak berapa mampu nak beri perhatian yang saksama pada mereka. Bila anak aku banyak sangat menyoal aku dah suruh dia diam. Cuba kita bayangkan jika kita ada anak seramai 40 orang dan duduk dalam satu rumah. Macam tulah yang dialami oleh cikgu-cikgu di sekolah kan.

Anak aku juga pandai menipu – Aku tak akan percaya sangat pada cakap-cakap anak aku ni. Mungkin ada unsur-unsur penipuan di dalam percakapannya. Perkara kecik diperbesar-besarkan dan perkara yang tak ada, di ada-ada kan, al-maklum budak-budak yang baru nak naik. Lagi-lagi selalu buat cerita negatif tentang cikgunya di sekolah, pasti kena siasat dulu.

Anak aku memang layak kena marah – Anak-anak aku ni bukannya maksum dan tak sempurna dari segi tingkah laku seperti seorang Nabi. Dia amat perlu dididik oleh cikgu-cikgunya. Tabiatnya kat rumah dengan kat sekolah pasti sangat berbeza. Kat rumah nampak baik je sebab mereka takut ngan aku. Tetapi di sekolah, mungkin wataknya dah jadi “super hero” yang kita tak tahu. Jika dia di marah dan kena hukum di sekolah, itu tandanya cikgu beri perhatian dan mendidiknya jadi orang baik.

Kenapa aku hantar mereka ke sekolah?

Untuk dia jadi diva kah sampai tak boleh diusik? 

Untuk dia jadi samsing kah, sampai tak boleh dijentik?

Untuk dia jadi biadap kah, sampai tak boleh dididik?

Alahai anakku!


Mencapai Keluruhan Budi


Masyarakat kita sangat pantas respon terhadap salah laku guru. Tetapi bagaimanakah dengan kesalahan kita, terhadap anak sendiri? Mungkin kita bersikap "Anak aku, apa hal kau nak peduli!”.

Buku Mencapai Keluruhan Budi oleh Za’ba, mengupas tentang sikap ‘kita’.

“Kita sangat marah jika dikata orang diri kita atau anak kita ‘kurang ajar’ kerana ‘kurang ajar’ itu bermakna bahawa emak bapa kita di rumah tidak cukup atau tidak tahu mengajar kita aturan adab yang halus-halus…”

“Padahal yang sebenarnya semua sifat-sifat perangai yang kekurangan dan rendah dan hina pada diri kita dan anak-anak kita itu ialah boleh disusun asalnya tersebab daripada ‘kurang ajar’ belaka. Sama ada kurang ajar oleh diri kita sendiri atau kurang ajar oleh emak bapa di rumah masa kita kecil-kecil.”

“Rumah itulah sekolah yang pertama kepada anak-anak itu bagi pelajaran bagaimana melakukan dirinya dalam kehidupan dunia ini; dan ibu bapa itulah guru sekolahnya yang awal pertama sekali.”

“Jikalau sekiranya asuhan dan didikan perangai yang didapatinya di rumah itu tiada senonoh atau tiada baik, maka itulah yang akan menjadikan dia ‘kurang ajar’, kurang amanah, makan suap dan sebagainya apabila ia telah besar kelak.”

“Misalnya jika di sekolah guru-gurunya mengajar suruh bersih tetapi di rumahnya sentiasa kotor, ibu bapanya sendiri tiada bersih, suka buang air besar di parit atau di longkang-longkang sahaja umpamanya, barang di rumah bersepah-sepah tiada aturan, kain-kain tersepah di sana tersangkut di sini, kencing budak kecil berlelehan di lantai – maka betapakah dapat dipersetujukan di antara dua macam sekolah itu?”

Renung-renungkan lah!



Wednesday 21 September 2016

Adakah anda gembira sekarang?



Ada orang mahu gembira, ada orang suka hidup dalam kesedihan dan kemurungan.

Adakah anda gembira dengan kehidupan anda sekarang? 

Jika anda gembira, teruskan dengan apa yang membuatkan anda rasa gembira.

Jika anda tidak gembira, tanya diri anda sendiri adakah anda mahu gembira?

Jika ya, maka ubah dan buatlah sesuatu agar ia dapat memberi kegembiraan dalam kehidupan anda.

Jika tidak, maka teruskan sahaja untuk hidup seperti biasa dalam kesedihan dan kemurungan. 

Tiada orang yang memaksa anda untuk memilih kehidupan yang bagaimana.

Tiada orang yang menyuruh anda untuk menjalani kehidupan yang macam mana.

Anda sukakan kehidupan yang gembira, teruskan sahaja.

Anda sukakan kehidupan yang murung, teruskan sahaja.

Anda sukakan kehidupan yang penuh cabaran, teruskan sahaja.

Anda sukakan kehidupan dalam zon selesa, teruskan sahaja.

Hanya anda sahaja yang akan tentukan kehidupan anda sendiri.

Maka jalanilah kehidupan yang macam mana pun, asalkan tidak menyusah dan menyakiti hati orang lain, itulah jalan terbaik.

Nak lebih baik, jalanilah kehidupan yang diredhai Tuhan.

Saturday 10 September 2016

Semoga abah memperolehi kebahagian abadi di sana.



Duduk memerhati abah ku.

Dulu, seorang yang gagah, segak, segala sakit mampu dilalui, tapi kini terkulai layu.

Aku memerhati sekeliling.

Sebelah katil abah, ada beberapa pesakit.

Darah tinggi, paru-paru berair, buah pinggan dan…… buasir katanya.

Yang menarik perhatian ku, sepasang suami isteri muda.

Si isteri setia menemani suaminya.

Menurut abah, dia kanser usus.

Sesekali mereka makan bersama.

Sesekali si suami menangis teresak-esak.

Si isteri memujuk lembut.

Sayu…..

Aku ingin berbual dengan abah, tapi abah terlalu lemah.

Abah kanser hati stages 4 kata doktor.

Menitis air mata ku.

Dulu, dengan kudrat tulang empat kerat ini lah, siang malam membesarkan aku sekeluarga.

Sebelum ke bilik bedah, mata abah sayu merenungku.

Seolah-olah mengucapkan selamat tinggal kepada ku.

Aku hanya mampu mendakap tubuh layunya.

Air mataku jatuh tanpa henti.

Aku sangat rindu padanya.

Kini genaplah 25 tahun abah menghadap pencipta.

Semoga abah memperolehi kebahagian abadi di sana.

Ameen.

Alfatihah.