Scrooling Text

YOU WILL NEVER REACH YOUR DESTINATION IF YOU STOP AND THROW STONES AT EVERY DOG THAT BARKS .

Pages

Saturday 28 April 2018

TERIMA KASIH CHEGU : SELAMAT HARI GURU BUAT CHEGU SEMUA


1956, Majlis Undang-Undang Persekutuan Tanah Melayu telah menerima cadangan-cadangan Laporan Jawatankuasa Pelajaran dikenali Laporan Razak sebagai Dasar Pelajaran Kebangsaan. 

Guru amat bertuah kerana mereka adalah antara orang yang bertanggungjawab dan diamanahkan untuk mendidik anak bangsa. 

Tidak semua yang mampu memikul amanah ini. 

Peranan guru amat bermakna kerana merekalah yang membantu melahirkan warga Malaysia yang berilmu, berakhlak, bertanggungjawab serta berke­upayaan mencapai kesejahteraan diri serta menyumbang kepada pembangunan negara. 

Merujuk kepada tema ini, tanggungjawab guru amat besar dan memerlukan kesabaran serta komitmen yang tinggi. 

Ketika mereka merungut mengenai bebanan tugas, pelbagai perubahan kurikulum, guru-guru tetap melaksanakan tanggungjawab sesuai dengan konsep kerja itu ibadah. 

Jika ibadah mereka itu tidak mendapat ganjaran di sini, pastinya di sana akan ada habuan kerana ilmu yang mereka curah dimanfaatkan. 

Peranan guru lebih mencabar dengan kemajuan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) yang kadang-kadang menyebabkan pengetahuan pelajar lebih ke hadapan. 

ICT bukan sekadar mendedahkan tentang ilmu tetapi sesuatu yang boleh merosakkan sehingga pelajar tidak memiliki jati diri, tidak patriotik, longgar pegangan agama dan rosak nilai-nilai moral.

Tidak seperti dahulu, guru pada hari ini juga terdedah de­ngan pelbagai risiko disebabkan kenakalan pelajar serta kerenah ibu bapa

Keadaan ini jauh berbeza berbanding suatu masa dulu. 

Kenakalan dahulu tidak sama seperti hari ini. 

Dulu, ibu bapa reda anak-anak mereka dirotan, dicubit, dipulas telinga, didenda berlari keliling padang, mengutip sampah, berdiri atas kerusi atau meja dan menulis ayat yang sama beberapa muka di buku latihan. 

Semuanya itu me­rupakan makanan biasa kepada murid-murid masa lalu sekiranya mereka melanggar disiplin. 

Hari ini keadaan sudah berubah. 

Guru-guru terpaksa berhati-hati, perlu sentiasa bersedia untuk berubah, berdaya tahan dan berfikiran aras tinggi. 

Matlamat akhir adalah untuk melihat pelajar berjaya.

Istimewanya, profesion guru ini, panggilan guru atau cikgu akan kekal sepanjang hayat.

Ada guru yang dianugerahkan pi­ngat kebesaran yang membawa pelbagai gelaran masih selesa membahasakan diri sebagai cikgu. 

Marilah kita menghargai dan mengingati jasa guru, insan pengganti ibu bapa yang bersama kita untuk sekurang-kurangnya tujuh jam sehari pada waktu siang, hari-hari persekolahan.

Kepada mereka yang masih mendapat bimbingan guru di sekolah rendah, menengah dan sebagainya, hormatilah guru. 

Guru bersyukur kerana dipilih menyertai profesion ini serta mendapat peluang mendidik anak-anak bangsa. 

Ikhlas dan adillah terhadap setiap pelajar ketika mengajar. 

Bagi pelajar, hargailah guru-guru anda. 

Kepuasan seorang guru sudah tentu apabila mendengar perkhabaran anak-anak yang dididiknya ­sudah berjaya dan mampu menyumbang kepada pembangun­an negara bangsa.

Ingatlah, siapa pun kita hari ini, di belakang kita, permulaannya ada guru yang mendidik dengan penuh sabar supaya kita pandai menulis, membaca dan mengira. 

Terima kasih cikgu!